mutakhir

Cari duit lebih nak raya... [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

BERSELINDUNG di sebalik perniagaan telefon bimbit, dua lelaki turut mencari pendapatan sampingan dengan menjual mercun dan bunga api sempena Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila polis menyerbu dua lokasi berasingan di Jalan Raja Uda serta Bagan Ajam, Kepala Batas semalam dan merampas pelbagai mercun serta bunga api bernilai hampir RM100,000.

Dalam serbuan jam 12.15 tengah malam itu, lelaki berusia 35 dan 25 tahun itu ditahan selepas polis melakukan risikan dan juga menerima maklumat berhubung aktiviti penjualan mercun terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan di rumah kedai dan rumah teres itu, polis menemui mercun terbabit yang disimpan dalam stor dan bawah tangga.

“Dalam serbuan pertama, kita menahan lelaki 35 tahun di sebuah rumah teres dan merampas mercun serta bunga api bernilai RM50,000 yang disimpan dalam stor.

“Lelaki berusia 25 tahun pula ditahan di sebuah rumah kedai dan kita berjaya merampas mercun serta bunga api bernilai RM40,000,” katanya hari ini.

Noorzainy berkata, mercun serta bunga api terbabit dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran sejak dua bulan lalu dan suspek menjualnya secara borong kepada pembeli.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai mahu mencari pendapatan sampingan dengan menjual mercun ini kerana ia boleh memberi mereka keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

Menurutnya, dua suspek terbabit juga mengaku mereka menjual mercun itu di sekitar Butterworth dan Mak Mandin.

“Suspek bekerja sebagai penjual telefon bimbit dan mereka dipercayai mahu mencari wang tambahan dengan menjual mercun,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 6:36pm
d