mutakhir

Polis `kumpul' saman trafik!

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 8,323 saman atas pelbagai kesalahan bagi tempoh enam hari Op Selamat 14 dilaksanakan bermula 29 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, jumlah terbabit bagaimanapun mencatatkan penurunan sebanyak 21 peratus iaitu 2,227 saman berbanding 10,580 saman dikeluarkan bagi tempoh sama pada Op Selamat 12 dilaksanakan pada tahun lalu.

“Jumlah kemalangan setakat hari ini adalah sebanyak 1,140 kes dan ia mencatatkan penurunan 257 kes berbanding 1,397 kes pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, hanya terdapat dua kes membabitkan kemalangan maut dan tiga kes kemalangan menyebabkan cedera ringan dicatatkan setakat ini. Manakala selebihnya hanya kemalangan biasa yang menyebabkan kerosakan kenderaan sahaja.

“Kita menjangkakan jumlah kemalangan maut ini dapat dikurangkan sehingga berakhirnya Op Selamat 14, pada 12 Februari nanti,” katanya pada sidang media selepas meninjau kempen Op Selamat di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 6:52pm
d