mutakhir

Tugas sukar tapi tak mustahil!

Oleh Iskandar Shah Mohamed

TEKAD menurunkan indeks jenayah dan menjadikan Selangor negeri yang selamat untuk didiami daripada sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

Itu antara strategi dan fokus utama Ketua Polis Selangor baharu, Datuk Noor Azam Jamaludin yang mengambil alih tugas jawatan itu berkuatkuasa hari ini, menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Noor Azam berkata, beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan sebelum ini mengakui kadar jenayah negeri ini sememangnya amat berbeza.

“Berbekalkan pengalaman sebagai bekas Ketua Polis Daerah Shah Alam selama empat tahun, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memerangi jenayah termasuk aktiviti perjudian.

Namun, ia tidak boleh hanya dilakukan bersendirian dan warga polis turut memerlukan bantuan media serta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membolehkan sesuatu tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang media selepas serah tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri Shah Alam tadi.

Upacara itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Kata Noor Azam, beliau tekad untuk meneruskan legasi Mazlan yang berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 16 peratus tahun lalu.

“Ia mungkin bukan perkara mudah namun saya percaya sasaran sama mampu dicapai dengan kerjasama daripada semua pihak tahun ini.

“Bagi saya, apa yang penting adalah memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terus terjamin sekali gus menjadikan Selangor selamat untuk didiami,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak dan berharap kepimpinan baharu dapat meneruskan usaha memerangi jenayah di negeri ini.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 7:23pm
d