mutakhir

Banjir kilat Townsville: Rakyat Malaysia selamat

Oleh Hairulazim Mahmud

SERAMAI 12 penuntut Malaysia di Universiti James Cook di Townsville dilaporkan selamat berikutan bencana banjir di wilayah Queensland Utara, Australia itu.

Menurut Atase Pendidikan, Konsulat Malaysia Sydney Kartini Tajul Urus, jumlah rakyat Malaysia di kawasan terbabit antara 40 hingga 50 orang dan mereka kini terjejas namun selamat serta dinasihatkan menghubungi Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) sekiranya memerlukan bantuan ke pusat pemindahan banjir.

“Susulan kejadian ini, satu kumpulan WhatsApp kecemasan antara Pejabat Konsulat Malaysia Sydney (EM Australia, MARA Australia) hasil inisiatif rakyat Malaysia yang menetap di Townsville telah diwujudkan bagi memantau keadaan dan mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sementara itu Pengarah MARA Australia di Sydney, Ahmad Zuriat Ahmad Tejuddin berkata, rata-rata penuntut dan bekas penuntut Malaysia di kawasan terbabit tidak bimbang walaupun banjir melanda.

Katanya, bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terpaksa berpindah ke rumah rakan yang lebih tinggi berikutan kediaman setingkat mereka ditenggelami air.

“Saya sudah menghubungi mereka dan apa yang mereka katakan buat masa ini hujan tidak berhenti tetapi mereka semua selamat dan tidak perlu ke pusat pemindahan banjir,” katanya.

Pejabat Education Malaysia Australia (EMA) melalui laman Facebook rasminya berkata, kelmarin pihak berkuasa Townsville, Queensland memberi amaran penduduk berhubung kemungkinan pintu air di Empangan River Ross yang akan terbuka secara automatik sekiranya paras air melebihi had maksimum susulan jumlah air hujan yang berterusan.

Kemudian kira-kira jam 8 malam waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia), pintu air empangan telah terbuka dan kawasan-kawasan yang terjejas adalah di Rosslea, Hermit Park, Railway Estate, Townsville City, Oonoonba, Idalia, Cluden, West End, Rowes Bay, Garbutt, Aitkenvale, Cranbrook, Currajong, Mysterton, Pimlico, Mundingburra, Douglas, Annandale, Kirwan dan Thuringowa Central & South Townsville.

Berikutan banjir itu juga Lapangan Terbang Townsville juga telah ditutup.

Menurut kenyataan EMA itu juga, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra turut menasihatkan semua rakyat Malaysia terbabit sekiranya memerlukan bantuan konsular berhubung dengan pegawai terbabit.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 8:05pm
d