mutakhir

Bukan buang najis tapi....

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tindakan seorang wanita membuang ‘sesuatu’ di dalam tandas membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 50.6 gram sebelum dia ditangkap di Kampung Melati Burut, Bombalai, Tawau, Sabah, awal pagi tadi.

Dalam ‘Ops Tapis’ pada jam 11.00 pagi itu, wanita berusia 43 tahun itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tawau bersama anggota Balai Bombalai dan PPK Merotai/Brumas.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang disembunyikan di tandas rumahnya.

“Selepas diperiksa, polis menemui tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Fadil berkata suspek yang juga warga Indonesia bersama rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 8:08pm
d