mutakhir

Pakwe makwe, penyamun [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PASANGAN kekasih, antara empat ditahan polis Rabu lalu kerana dipercayai terbabit dalam kejadian samun suami isteri di Taman Melaka Raya, di Melaka, bulan lalu.

Suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) bersama Bahagian D8 (Operasi Khas) dan Bahagian D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, tangkapan pertama dilakukan ke atas suspek lelaki berusia 33 tahun, di sebuah restoran di Johor Bahru, kira-kira jam 2.30 pagi.

“Selepas itu, dua lagi lelaki dan seorang suspek wanita berusia masing-masing berusia 23, 33, dan 25 tahun ditahan pada jam 5 pagi, di sebuah rumah di Pangsapuri Puncak Kempas Utama, Taman Kempas Utama, Johor.

“Hasil ujian air kencing ke atas tiga suspek lelaki mendapati mereka positif methamphetamine,” katanya pada sidang media di IPK Melaka, Melaka, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek warga tempatan berasal dari Johor.

Menurut Mohd Nor Yhazid, selain tangkapan, pihaknya turut merampas sebuah kereta Honda Accord berwarna putih, dipercayai digunakan ketika menyamun pasangan warga emas berusia 76 dan 60 tahun pada 6 Januari lalu.

Selain itu, polis merampas motosikal Yamaha RX-Z.

Katanya, kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dicuri di Johor dan Melaka.

“Selain itu, kita turut merampas satu telefon bimbit jenama MI, topi bertulis Yamaha 46, topeng muka, satu pisau berserta sarung, satu parang panjang berukuran 70 sentimeter (sm), parang panjang berukuran 63 sm, sekeping papan nombor pendaftaran kereta bertulis Honda dan satu nombor pendaftaran JPX9023,” katanya.

Beliau berkata, dengan penanahan semua suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 14 kes samun, masing-masing membabitkan tiga kes dalam Melaka dan 11 kes di Johor.

“Semua suspek direman tujuh hari dari 31 Januari hingga 6 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dengan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah,” katanya.

Terdahulu, sejurus selepas dirompak di tepi Jalan Melaka Raya 12, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) suami dirompak menjadi tular pada hari kejadian dan polis menggunakan rakaman terbabit sebagai panduan memburu suspek.

Dalam kejadian itu, suspek kerugian kira-kira RM2,500 selepas beg tangannya yang mengandungi telefon bimbit dan barangan peribadi, dirompak.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 8:38pm
d