mutakhir

Belum putus mansuh diskaun saman trafik

Oleh Iskandar Shah Mohamed

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) belum membuat keputusan mengenai pemansuhan diskaun kepada pesalah jalan raya di negara ini.

Ia berikutan keputusan itu memerlukan butiran terperinci daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan pasukan keselamatan itu di bawah kementerian berkenaan dan bukannya Kementerian Pengangkutan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini hanya membabitkan cadangan kementeriannya.

“Kita (PDRM) perlu mendapatkan butiran lengkap terlebih dulu dan mungkin menyelaraskannya dengan KDN sebelum memberikan sebarang kata putus mengenai perkara itu.

“Namun, kita sememangnya sudah mengumumkan tidak akan memberi diskaun kepada pesalah trafik sepanjang musim perayaan ini.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dalam usaha menurunkan kadar kemalangan,” katanya pada sidang media selepas majlis serah tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, petang hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamad Fuzi menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor kepada Ketua Polis Selangor baharu, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Minggu lalu, media melaporkan tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan terhadap mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas.

Anthony dipetik sebagai berkata, dasar tiada diskaun itu tidak bermusim dan akan diteruskan sepanjang masa, bukan hanya ketika musim perayaan sahaja seperti mana sebelum ini, ia bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

Kata Mohamad Fuzi, sebarang pemberian diskaun oleh cawangan atau IPK polis bukan dibuat sewenang-sewenangnya, namun perlu mendapat persetujuan daripada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

“Kita tidak pernah melaksanakan pemberian diskaun kepada pesalah trafik dalam tempoh masa sama, namun ia dilakukan menerusi sesuatu program seperti berbentuk kemasyarakatan.

“Kadangkala kesalahan (pesalah jalan raya) itu sudah banyak dan kita mahu meringankan beban mereka menerusi tawaran dalam program seumpamanya sekali gus menggalakkan orang ramai membayar saman,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 8:54pm
d