mutakhir

Jangan keruhkan keharmonian - Dr Mahathir [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya supaya tidak memandang ringan dalam soal menjaga hubungan.

Beliau berkata, hal ini kerana akan ada pihak cuba untuk mengeruhkan keharmonian yang dikecapi sekali gus rakyat Malaysia perlu menjaga diri daripada terhasut dengan perkara sedemikian.

“Di dalam sebuah negara rakyatnya berbilang kaum dan agama, kita dapat meraikan kepelbagaian dengan penuh keharmonian serta aman. Ini satu perkara yang biasa bagi kita tetapi, ia tidak sentiasa begitu.

“Menjaga hubungan antara rakyat berlainan kaum, agama dan budaya bukanlah suatu perkara yang mudah, kita tidak boleh pandang ringan perkara ini.

“Akan ada dalam kalangan kita iaitu pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian ini untuk tujuan tertentu dan saya harap kita tidak akan biarkan diri kita terhasut dengan perkara sebegini,” katanya menerusi video ucapan sempena Tahun Baharu Cina 2019 yang dimuat naik di Facebook.

Pada paparan video itu, Dr Mahathir turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Malaysia terutama mereka yang berketurunan Tionghua.

“Tahun Baharu Cina adalah salah satu perayaan utama bagi kita, rakyat di negara Malaysia yang bertuah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh rakyat untuk berikrar menjaga kestabilan, keharmonian serta keamanan negara.

“Marilah bersama kita berikrar untuk menjaga kestabilan, keharmonian serta keamanan dalam negara kita sayangi ini.

“Di hari yang gembira ini, saya harap kita semua akan teruskan tradisi kunjung mengunjung rumah terbuka rakan dan taulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia disarankan mengambil peluang sambutan perayaan ini bagi mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.

“Ambillah peluang ini untuk mengukuhkan lagi tali persaudaraan antara kita, sesama kita rakyat Malaysia. Sekali lagi, saya serta isteri mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:52pm
d