mutakhir

Rakyat Malaysia di Townsville dinasihat berwaspada [METROTV]

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

RAKYAT Malaysia yang melawat atau tinggal di Townsville, Queensland, Australia dan kawasan yang terjejas banjir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan mereka untuk terus mengikuti berita tempatan dan laporan cuaca.

“Setakat ini, dianggarkan kira-kira 50 rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dilaporkan selamat.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Konsulat Malaysia di Sydney,” katanya.

Wisma Putra memaklumkan, amaran dikeluarkan kepada penduduk Townsville mengenai risiko terhadap hidupan dan harta benda selepas pintu empangan Ross River dibuka.

Kira-kira 1,900 meter padu sesaat dialirkan dari empangan itu.

“Keadaan masih berisiko tinggi apabila hujan lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang,” katanya.

Ribuan penduduk di timur laut Australia terpaksa meninggalkan rumah masing-masing susulan banjir yang disifatkan sekali dalam seabad menukar jalan raya menjadi sungai, dengan pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat beberapa hari lagi.

Penduduk di bandar raya Townsville di timur laut Queensland mengalami gangguan bekalan elektrik dan sehingga 20,000 rumah berisiko ditenggelami air jika hujan berterusan.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:57pm
d