mutakhir

Lori lima tan pindah lelaki 200 kg

Oleh Hadzlihady Hassan

BOMBA hari ini, terpaksa dipanggil bagi membantu memindahkan pesakit lelaki dengan berat badan 200 kilogram (kg) dari Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown, ke wad Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat Perai.

Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak itu menggunakan lori lima tan untuk membawa pesakit terbabit, jam 9 malam.

Lelaki dengan masalah obesiti, berusia 43 yang bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah klinik itu terjatuh di rumahnya kira-kira jam 7 pagi, hari ini.

Isteri lelaki terbabit berkata, suaminya itu terjatuh di rumah mereka di tingkat satu Kuarters Klinik Sungai Dua, Butterworth.

“Suami terjatuh selepas keluar dari tandas dan dia terpaksa dibawa menggunakan lori bomba ke HPP.

"Suami saya kemudian dipindahkan pula ke HSJ, selepas pemeriksaan, doktor mendapati dia dalam keadaan stabil," katanya.

Menurutnya, suaminya itu mempunyai berat badan 200 kg dan hanya mempunyai masalah sering penat.

"Suami tidak jaga makan, sebab tu badan dia naik... lepas ni saya kena nasihat dia supaya mengawal diri ketika makan," katanya yang ditemui di HPP, malam ini.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 10:44pm
d