mutakhir

Raikan kepelbagaian agama

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

KEPELBAGAIAN agama dan bangsa tidak menghalang masyarakat negara ini untuk turut sama meraikan perayaan sesuatu kaum.

Ia bukan saja dapat menyumbang kepada keharmonian rakyat Malaysia tetapi juga mengeratkan silaturahim sesama insan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak ketinggalan turut memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Beliau meraikan jiran-jirannya yang berbangsa Cina dengan memberikan kek kepada mereka semalam.

Melalui Facebooknya, Dr Zulkifli menyampaikan sendiri kek kepada jirannya sempena perayaan itu.

Beliau berkata, walaupun hadiah itu kecil, namun berharap ia menyumbang sesuatu kepada keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

“Hidup beragama ini sebenarnya indah dan mudah jika kita memahami kehendak agama, juga batasannya. “Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa.

“Betapa sejarah kehidupan Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa tembok bangsa dan agama boleh diketepikan dengan akhlak dan kesantunan,” katanya dalam FB beliau yang dimuat naik semalam.

Dr Zulkifli turut mengajak kembali kepada asas hakiki bahawa kita sebenarnya satu keluarga besar yang bernendakan Adam dan Hawa.

“Marilah kita zahirkan keindahan Islam, sebarkan semangat perpaduan,” tulisnya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 11:15am
d