mutakhir

Pelancong China sesat 3 jam

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

EMPAT pelancong China mengharungi detik mendebarkan selepas tersesat selama tiga jam ketika melawat Taman Negara Bako, Kuching, semalam.

Kejadian itu dimaklumkan kepada bomba selepas menerima panggilan kecemasan yang dibuat seorang daripada mangsa pada 3.47 petang.

Komander Operasi, Mosli Salim berkata, sejurus menerima maklumat, pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan Petra Jaya dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa berusia 30-an hingga 40-an sesat selepas tersasar dari laluan asal di taman negara berkenaan selepas mendaftar masuk pada pagi hari kejadian.

“Selepas buntu mencari jalan keluar, seorang daripada mereka menghubungi talian kecemasan untuk bantuan lanjut.

“Pasukan bomba dibantu beberapa agensi lain seperti polis, Perbadanan Hutan Sarawak, bomba sukarela dan ahli Persatuan Bot Penambang Taman Negara Bako dipecahkan kepada tiga kumpulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghantar kedudukan lokasi kepada pasukan mencari dan menyelamat bagi memudahkan mereka dikesan.

Katanya, mangsa ditemui kepenatan 6.30 petang sebelum dibawa keluar dari taman negara berkenaan.

“Polis kemudian mengambil keterangan daripada semua mangsa sebelum mereka dibenarkan pulang,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 11:31am
d