mutakhir

Maut kereta rempuh pokok

Oleh Norasikin Daineh

LELAKI maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di jalan susur berhampiran bulatan Masjid Bandaraya, Likas, Kota Kinabalu hari ini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Andy Mahaga Sipawi, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa yang memandu Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Sebaik mangsa tiba di lokasi, kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar pokok.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kematian.

Terdahulu, Habibi turut menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati ketika memandu di beberapa laluan di daerah itu yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan ketika musim perayaan.

“Kajian juga menunjukkan kes kemalangan berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang lalu lintas serta memandu laju sehingga membahayakan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bomba menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 2.13 pagi.

“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu bersama sebuah jentera di kejar ke lokasi untuk operasi menyelamatkan mangsa.

“Pemeriksaan mendapati, seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan dan usaha mengeluarkan mangsa segera dilakukan,” katanya.

Katanya, bomba berjaya mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi tamat jam 2.47 pagi.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 11:47am
d