mutakhir

Jangan bawa pulang anjing ke LMS

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

ORANG ramai dinasihatkan tidak membawa pulang anjing dari kawasan lain ke mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit rabies atau anjing gila.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, diingatkan kepada orang ramai bahawa pewartaan daerah LMS sebagai kawasan jangkitan sehingga kini masih berkuatkuasa dan belum ditarik balik sejak ia diwartakan pada 14 Januari lalu.

“Justeru semua pihak perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga, orang ramai juga tidak dibenarkan membawa keluar anjing dari kawasan pewartaan kecuali dengan kebenaran bertulis dari Pengarah JPV Perak bagi mencegah wabak ini dari menular ke kawasan lain.

“Operasi sekatan dan rondaan jalan raya oleh Penguatkuasa JPV Perak bersama dengan polis di sempadan kawasan pewartaan sedang giat dijalankan bagi menghalang pemindahan keluar anjing dari sempadan pewartaan,” katanya, hari ini.

Pada 14 Januari lalu, Daerah LMS diwartakan sebagai kawasan jangkitan penyakit berkenaan berikutan aduan daripada seorang pemilik anjing selepas dua ahli keluarganya digigit anjing peliharaan di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, 31 Disember lalu

Difahamkan, sampel otak haiwan itu diuji dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh pada keesokannya.

Dr Ahmad Shafri berkata, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan memindah keluar anjing tanpa kebenaran boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya sekali mengikut subseksyen 39(1) Akta Binatang 1953.

Katanya, pemilik anjing juga dilarang melepaskan anjing peliharaan mereka keluar dari premis tanpa pengawasan ketat walaupun mempunyai lesen atau kolar vaksin.

Menurutnya, anjing yang didapati berada dalam kawasan jangkitan penyakit anjing gila tanpa pengawasan tuannya boleh dimusnahkan oleh mana-mana individu yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pengarah JPV mengikut Akta Binatang 1953.

“Sejak operasi kawalan penyakit Rabies dijalankan di mukim Taiping dan Bukit Gantang sebanyak 5,419 anjing dan 958 kucing sudah dibuat pemantauan dan pemeriksaan jangkitan Rabies.

“Sehingga hari ini, 4,262 anjing bertuan yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan wabak Rabies mula dikesan bulan lalu, sudah diberi suntikan vaksinasi Rabies.

“Persampelan ke atas anjing liar di kawasan bersempadanan dengan kawasan perwartaan meliputi daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda penularan wabak Rabies ke daerah-daerah yang berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, sehingga kini keadaan wabak itu di mukim berkenaan berada dalam keadaan terkawal dengan hanya empat kes positif membabitkan jangkitan rabies ke atas anjing seperti dilaporkan sebelum ini.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi JPV Daerah LMS di talian 05-8072703 atau JPV Perak di talian 05-5459111 serta Bilik Pengurusan Krisis JPV Putrajaya di talian 03-8870 2041.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 2:27pm
d