mutakhir

Pertahankan perpaduan kaum

Oleh Garret Dawum

PERPADUAN kaum perlu dikekalkan kerana ia dapat membantu dalam kestabilan ekonomi.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perpaduan yang dipertahankan itu juga dapat mengintegrasikan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa serta agama.

“Pertemuan atau perjumpaan yang dihadiri pelbagai kaum dan agama sempena Tahun Baru Cina antara contoh terbaik dalam mengukuhkan semangat perpaduan.

"Malah, ia dapat memupuk semangat hormat-menghormati sekali gus menjadikan Malaysia terus harmoni, aman dan damai," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina ahli perniagaan, Datuk Chua Lai Huat di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, Ketua Pegawai Eksekutif Chua Lai Huat Holdings Sdn Bhd, Datuk KC Chua, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy dan Pengarah Urusan Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, Lars Lehmann.

Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata, Malaysia bukan saja perlu bebas daripada keganasan, jenayah dan kekejaman malah perlu bebas daripada masalah dan konflik disebabkan kebencian antara kaum dan agama.

“Masyarakat pelbagai etnik perlu mempunyai sikap prihatin terhadap masa depan negara dan bersedia menjadi jambatan etnik.

“Pada masa akan datang, penting bagi semua rakyat Malaysia belajar mengenai kepentingan memelihara perpaduan kerana negara kita boleh musnah jika tidak mengekalkan keharmonian antara kaum," katanya.

Sementara itu, Chua berkata, sebagai ahli perniagaan beliau akan terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara menerusi kerja amal.

"Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan harmoni kerana adanya pelbagai kaum dan agama.

"Jika kita mahu keamanan itu berkekalan, ia sepatutnya bermula daripada kita sendiri. Saya percaya, negara kita akan terus maju dan ekonomi juga akan stabil," katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 3:54pm
d