mutakhir

Tumpasnya dua polis `ciplak'!

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DUA lelaki warga tempatan ditahan polis, semalam selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan kegiatan peras ugut terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat menahan salah seorang suspek di susur keluar Lebuhraya Kota Tinggi - Johor Bahru di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek pertama membawa kepada penangkapan suspek kedua di sebuah pangsapuri dekat Majidee Baru di sini, kira-kira jam 11.45 malam.

"Susulan penahanan suspek, kami merampas kelengkapan pakaian seragam anggota polis serta peralatan yang dipercayai digunakan sewaktu melakukan penyamaran termasuk senjata api tiruan dan pisau," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek pertama memiliki 25 rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah serta satu rekod individu dikehendaki dalam kes dadah.

Manakala suspek kedua pula memiliki 16 rekod lampau dalam pelbagai kesalahan jenayah.

Menurut Norazam, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 37 dan 43 tahun itu, mereka mengaku terbabit dengan beberapa kes penyamaran sebagai anggota polis di kawasan Ulu Tiram dan Desa Cemerlang di sini.

"Sasaran suspek lebih kepada warga asing untuk mendapatkan wang tunai dan barang berharga seperti telefon bimbit dan barang kemas.

"Mereka juga dipercayai terbabit dengan kegiatan memecah cermin kereta di sekitar daerah Johor Bahru," katanya.

Norazam berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga Ahad bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 32(2) Akta Senjat Api 1960 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1969.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 4:47pm
d