mutakhir

Mana mau lari bro? Ini Malaysia lah...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

OPERASI dan rondaan akan terus dilaksanakan pihak polis di sepanjang lebuh raya di negeri ini bagi mengesan penunggang motosikal Singapura mahu pun tempatan yang tidak mematuhi undang-undang.

Tindakan penguatkuasaan pula akan segera diambil sekiranya penunggang motosikal berkuasa tinggi ini sengaja menutup nombor plat bagi mengelak dirakam kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) kerana menunggang melebihi had laju ditetapkan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pemantauan di sepanjang lebuh raya akan diteruskan terutamanya pada musim perayaan ini apabila jumlah kenderaan yang melalui laluan berkenaan bertambah.

Tegasnya, tindakan akan diambil terhadap mana-mana penunggang motosikal yang melanggar undang-undang sama ada warga tempatan mahu pun warga asing.

"Operasi dan rondaan di lebuh raya dibuat dari semasa ke semasa. Kita sentiasa pantau dan tindakan penguatkuasaan akan diambil bukan sahaja kepada penunggang motosikal Singapura, tetapi warga tempatan juga.

"Kita akan lihat bukan sahaja soal menyembunyikan nombor pendaftaran motosikal mereka, tetapi mana-mana motosikal yang tidak mengikut spesifikasi atau mengubah suai nombor pendaftaran mereka juga akan dikenakan tindakan," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau mengulas tindakan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Singapura yang dikesan menunggang di negara ini dengan menutup nombor plat motosikal mereka menggunakan pita pelekat.

Katanya, seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, semalam, tindakan termasuk mengeluarkan saman sudah dilakukan terhadap penunggang motosikal itu.

"Video itu tular sejak kelmarin, namun kejadian itu dikesan berlaku pada pertengahan Januari lalu dan tindakan juga sudah diambil sebaik sahaja mereka dikesan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Razali Wagiman berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan membuat pemantauan selepas tularnya video terbabit.

"Saya sudah mendapat arahan daripada Ketua Pengarah untuk mengambil tindakan dan kita meletakkan anggota penguatkuasa di lorong motosikal untuk membuat pemeriksaan di dua pintu masuk dari Singapura ke Malaysia iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dari Woodlands dan Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Tuas.

"Bagaimanapun, kita tidak berjaya mengesan penunggang motosikal yang berbuat demikian, namun akan terus memantau kerana berkemungkinan ada yang bertindak demikian (menutup nombor pendaftaran) selepas mereka melepasi bahagian pemeriksaan di kedua-dua bangunan itu," katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang dikesan melakukan perbuatan seumpama itu akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan.

Menerusi rakaman berdurasi 43 saat yang tular, kelihatan kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan nombor plat pendaftaran bermula dengan abjad ‘F’ yang merujuk kepada pendaftaran motosikal di Singapura itu, melalui Lebuhraya PLUS dari arah selatan tanah air.

Difahamkan, tujuan kumpulan berkenaan menutup nombor plat pendaftaran motosikal mereka bagi mengelak dirakam kamera AWAS di sepanjang lebuh raya di negara ini apabila mereka menunggang laju.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 5:19pm
d