mutakhir

Kerjasama kesan penuntut di kawasan bencana

Oleh Mary Victoria Dass

KEMENTERIAN Pendidikan bekerjasama dengan Wisma Putra bagi mengenal pasti sama ada terdapat penuntut Malaysia yang terjejas akibat banjir yang melanda Townsville, Queensland, Australia.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sekiranya ada penuntut yang terjejas, pihaknya akan mengambil tindakan segera.

“Bagaimanapun, sehingga kini, kita masih belum menerima laporan rasmi berkaitan kejadian itu.

“Kita akan ambil tindakan segera kerana mereka adalah aset yang terbesar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sireh Pulang ke Gagang anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Raya Kampung Skudai Kiri, Johor Bahru, hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan rakyat Malaysia yang melawat atau tinggal di Townsville, Queensland, Australia dan kawasan yang terjejas banjir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada.

Malah, mereka juga diminta untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa bencana menerusi berita tempatan dan laporan cuaca selain menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Konsulat Malaysia di Sydney sekiranya perlukan bantuan.

“Setakat ini, dianggarkan kira-kira 50 rakyat Malaysia di kawasan terjejas, namun dilaporkan selamat,” kata Wisma Putra.

Terdahulu, Maszlee berkata, majlis berkenaan bertujuan mengeratkan silaturahim bersama penduduk asal kampung itu.

Beliau berkata, selain itu, ia tanda kesyukuran dengan kehadirannya yang juga menjadi motivasi kepada golongan muda di perkampungan terbabit supaya berusaha bagi mengecap kejayaan.

“Saya membesar di perkampungan ini dan kunjungan ke kampung ini mengimbas kembali pelbagai kenangan manis,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 5:38pm
d