mutakhir

Sambutan suram tanpa ibu

Oleh Amran Yahya

KEHADIRAN Tahun Baharu Cina disambut suram oleh keluarga Teo Lee Shiah, apabila ibunya, Soh Sian yang hilang sejak tiga minggu lalu, masih belum ditemui sehingga hari ini.

Lee Shiah, 58, berkata, kehilangan ibunya yang berusia 88 tahun itu masih menjadi misteri buat keluarganya selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mencari warga emas itu masih tidak berhasil.

“Kami sekeluarga kini buntu kerana tiada petanda yang memungkinkan ibu saya akan ditemui semula.

“Sudah pelbagai cara dilakukan termasuk berjumpa pengamal perubatan tradisional daripada kaum Cina, India dan Melayu, namun ibu masih gagal dikesan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Temensu, Senaling, Kuala Pilah, hari ini.

Lee Shiah yang juga anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, tiada sebarang persiapan dilakukan keluarganya termasuk kuih-muih dan baju baharu, bahkan acara makan besar malam tadi hanya dibuat secara sederhana.

“Selalunya ibu orang paling sibuk menyediakan hidangan setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina.

“Dari semalam, ayah (Teo Kok War, 88) langsung tidak menjamah makanan dan kami bimbang jika keadaan ini berterusan akan memberi kesan sampingan pula kepada ayah,” katanya yang berharap ibunya ditemui segera.

Lee Shiah berkata, ayahnya adalah individu terakhir melihat ibunya keluar rumah pada 10 pagi 15 Januari lalu.

Lee Shiah berharap orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 017-5169188 atau 019-3760655.

Portal berita Harian Metro pada 25 Januari lalu melaporkan Lee Shiah merayu orang ramai membantu mengesan ibunya, yang hilang dari rumah di Kampung Bukit Temensu, Senaling.

Berita berkaitan

'Pulanglah ibu'

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 8:01pm
d