mutakhir

Mandi darah dibalun suami!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG wanita cedera di kepala selepas kepalanya dibaling tabung oleh suami susulan pergaduhan berlaku di rumah mereka di Taman Len Sen, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang tadi, mangsa berusia 50-an cedera di kepala, manakala suaminya cedera ringan di bahagian lengan kiri.

Difahamkan kejadian berpunca pertengkaran antara suami isteri terbabit yang tidak diketahui punca sebelum bertukar menjadi ganas.

Suami mangsa berusia 50-an dikatakan bertindak membaling tabung ke arah isterinya menyebabkan kepala wanita berkenaan luka dan berlumuran darah.

Anak lelaki mereka berusia 30-an cuba meleraikan pergaduhan itu menyebabkan suami wanita terbabit cedera ringan di bahagian lengan kiri akibat pergelutan yang berlaku.

Sementara itu pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.15 petang.

"Seramai lima anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami mendapati kepala wanita terbabit berlumuran darah.

"Anggota APM bertugas segera memberikan rawatan awal kepada mangsa dengan membalut luka mangsa sebelum dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 8:33pm
d