mutakhir

Meninggal dunia selepas pulang umrah

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

IBU kepada Ketua Bahagian Keselamatan Awam (KBKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini.

Allahyarham Rubiah Sujak,70, meninggal dunia jam 2.10 pagi akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas dimasukkan ke hospital itu pada Khamis lalu sebaik tiba dari mengerjakan umrah bersama anaknya Asisten Superintendan Nor Azman Paimin.

Rombongan umrah itu turut disertai Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah dan isteri.

Mohamad Zainal ketika dihubungi berkata, Nor Azman kini berada di Oman selepas isterinya dimasukkan ke Hospital KIMS Oman akibat penyakit sama dan dijangka tiba di tanah air, jam 1 pagi esok.

“Arwah (Rubiah) tidak mengalami sebarang sakit ketika di Makkah dan Madinah, sebaik tiba di tanah air pada Khamis lalu, arwah dimasukkan ke HRPB pada sebelah malam.

“Sebelum itu dalam perjalanan pulang, penerbangan kami terpaksa dilencongkan kerana isteri Nor Azman mengalami kesukaran bernafas dan ditahan di wad Hospital Kims Oman kerana jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, jenazah arwah dijangka akan dibawa pulang ke Batu Pahat, Johor untuk dikebumikan.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 10:55am
d