mutakhir

Kejamnya tangkap, bunuh penyu...

Oleh Abdul Rahemang Taiming

TIGA lelaki ditahan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) kerana disyaki terbabit dalam aktiviti menangkap dan membunuh penyu di kawasan perairan Pulau Ligitan dekat Semporna, hari ini.

Ia susulan maklumat risikan oleh Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) dari 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Kapten Mohd Azuan Arif Mohd Nizam yang kemudiannya menggerakkan bot ronda bagi membanteras penangkapan dan pembunuhan penyu di kawasan perairan berkenaan.

Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 25 hingga 45 tahun itu menggunakan sebuah perahu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada 4.30 pagi.

“Pemeriksaan lanjut, pasukan keselamatan menemui enam cengkerang penyu yang dipercayai baharu siap dipotong, manakala isi dan organ dalamannya telah dibuang ke laut.

“Selain melanggar perintah berkurung, ketiga-tiga suspek juga yang dipercayai suku Pala’u,” katanya, hari ini.

Katanya, tiga suspek bersama barang rampasan diserahkan ke Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa komuniti maritim supaya melaporkan kegiatan pemburuan atau pembunuhan penyu kerana hidupan liar itu adalah antara haiwan yang dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 11:31am
d