mutakhir

PPM rampas rokok daun [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

SEJUMLAH 8.5 tan daun nipah yang siap diproses (rokok daun) dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu(W1), Batu Uban, di dalam sebuah kapal dagang di perairan Weld Quay, di Georgetown, 5 petang, Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, kapal yang dinaiki lapan warga Indonesia itu dalam perjalanan menghantar kesemua daun nipah bernilai RM60,000 ke Pulau Pinang sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa.

Pemangku Komander PPM W1, Superintendan Dimin Awang berkata, bot barang dengan nama ‘KM Rezeki Bersama’ itu sedang menunggu untuk memunggah barang di pelabuhan di situ sebelum pemeriksaan yang dilakukan menjumpai kesemua daun nipah berkenaan diletakkan di dalam guni dan ditudung dengan kanvas.

“Mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan dipercayai sedang menunggu ejen bagi tujuan menjual daun nipah berkenaan.

“Susulan itu, kesemua mereka ditahan dan barang rampasan dibawa ke Pengakalan PPM Batu Uban bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, kapal itu belayar dari Pengkalan Dodek, Indonesia dan kesemua warga Indonesia berusia 30 hingga 55 tahun yang berada di dalam kapal mempunyai dokumen perjalanan.

Katanya, mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit import daripada pihak pertanian dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Dimin berkata, nilai keseluruhan rampasan kapal dan barang kes berjumlah RM350,000.

Menurutnya, bagi Januari sahaja PPM W1 berjaya membuat 112 tangkapan berbanding 62 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 12:29pm
d