mutakhir

Penuntut Malaysia di Amerika Syarikat selamat

Oleh Garret Dawum

“KAMI semua selamat dan doakan kami terus selamat,” kata penuntut ijazah sarjana muda ekonomi Universiti Michigan Ann Arbor, Ahmad Mohsein Azman, 22, mengenai keadaan semasa penuntut Malaysia yang terbabit dengan Polar Vortex yang melanda Amerika Syarikat.

Beliau yang juga Naib Presiden (Dalaman) Perhimpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika (NAMSA) berkata, setakat ini tiada laporan kecederaan dalam kalangan penuntut dikemukakan oleh mana-mana pihak.

“Ada penuntut yang cedera kerana tergelincir di atas ais tetapi tidak berkaitan dengan kejadian Polar Vortex.

“Kami bekerjasama dengan pihak kedutaan Malaysia di Washington D.C., cawangan Education Malaysia serta pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA bagi memastikan keselamatan penuntut terjamin.

“Pihak JPA dan MARA juga berhubung dengan penuntut tajaan mereka bagi mengingati penuntut agar sentiasa menjaga diri dan rakan-rakan sepanjang tempoh berlakunya fenomena ini,” katanya menerusi Whatsapp kepada Harian Metro, semalam.

Ahmad Mohsein berkata, keadaan suhu ekstrem itu seakan sudah reda kerana suhu di hampir semua kawasan meningkat melebihi paras beku dalam beberapa hari yang lalu.

“Namun, penuntut dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga kerana musim salji masih belum berakhir dan suhu masih rendah.

“Universiti dalam kawasan yang terjejas dengan fenomena ini yang mengisytiharkan cuti sebelum ini juga sudah mula dibuka,” katanya.

Katanya, fenomena Polar Vortex yang melanda Amerika Syarikat mendatangkan bahaya hypothermia dan frostbite.

“Suhu yang amat rendah serta tiupan angin sejuk boleh mengakibatkan kecederaan yang serius dan mendatangkan maut.

“Amaran cuaca luar biasa yang dikeluarkan menasihati para penuntut agar tidak terdedah kepada suhu rendah untuk tempoh yang lama dan perlu memakai pakaian bersesuaian dengan suhu,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 12:54pm
d