mutakhir

Mujur cepat keluar kereta

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SUAMI isteri terselamat apabila sempat keluar daripada kereta dinaiki yang terbakar di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekinchan di Sekinchan, hari ini.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an bertindak memberhentikan Toyota Corolla Altis di lokasi terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Omar Ali Saiffuddin Enton berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 8.18 pagi.

“Sepasukan 11 pegawai dan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa didapati sudah keluar dari kereta itu dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Omar, berdasarkan keterangan pemandu, kereta yang menuju ke pekan ini dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar tiang elektrik.

“Ia kemudian mengakibatkan kebakaran yang memusnahkan 90 peratus kereta berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 3:20pm
d