mutakhir

Ajal terkena renjatan elektrik

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SEORANG lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Mak Limah, Nilam Puri, Kota Bharu, hari ini.

Lelaki itu ditemui orang awam pada 7.50 pagi dalam keadaan terbaring berdekatan kawasan sawah padi, sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan pihaknya tidak menolak mangsa maut dalam tempoh 24 jam, dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Turut ditemui kabel yang sudah dipotong berada berdekatan lelaki itu.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Abdul Rahim menasihati orang ramai supaya tidak mendekati pencawang elektrik atau wayar yang mempunyai arus elektrik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 6:22pm
d