mutakhir

Malang nasibmu Koperal Omar!

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG anggota polis trafik patah kaki kanan digilis kenderaan pacuan empat roda ketika mengawal lalu lintas dalam Op Selamat Ke-14 sempena Tahun Baharu Cina di persimpangan lampu isyarat di Jalan Rasah-Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Koperal Omar Mohd, 51, dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bersama enam anggota lain ditugaskan di lokasi bagi memastikan kelancaran jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, ketika kejadian anggota terbabit berada di tengah persimpangan.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda model Isuzu D-Max dari arah susur masuk Tol Rasah-Port Dickson dikatakan mengubah haluan ke kiri ketika menuju ke lampu isyarat.

“Bagaimanapun, kesesakan teruk menyebabkan pemandu lelaki berusia 53 tahun itu mengubah semula haluan ke kanan menyebabkan kenderaannya tergilis kaki anggota polis terbabit,” katanya.

Ibrahim berkata, pemandu itu yang panik membrek secara mengejut dan pada masa sama sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 32 tahun tidak sempat berhenti lalu merempuh kenderaan itu.

Katanya, kedua-dua pemandu terbabit tidak cedera.

“Anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 6:53pm
d