mutakhir

Bila harga sayur dikawal `Bangla' dan `Myanmar'

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

TINDAKAN peniaga warga asing yang memonopoli perniagaan serta mengawal harga sayuran di pasar borong antara faktor penguatkuasaan tidak berkesan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood berkata mereka juga tidak pernah serik dan akan melarikan diri setiap kali penguatkuasaan dijalankan.

“Kebanyakan peniaga warga asing di sini tiada tapak atau lesen berniaga dalam pasar harian tetapi mereka menjual ikan, sayur atau buah-buahan di tepi jalan.

“Hasil pemantauan, kami turut menyita barang jualan milik tiga peniaga sayuran dan seorang peniaga sotong hasil tindakan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang hasil operasi bermula jam 11 malam semalam hingga 8 pagi tadi.

“Kesemua barang jualan yang disita dihantar ke stor sitaan Jalan Lombong, Kuala Lumpur untuk dilupuskan dan tidak boleh dituntut,” katanya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi pemantauan bagi mengelakkan warga asing daripada terus bermaharajalela di kawasan itu.

“DBKL tidak akan bertolak ansur terhadap peniaga warga asing yang degil serta ‘kebal’ daripada undang-undang pihak berkuasa. Tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 7:46pm
d