mutakhir

Adik maut, abang cedera

Oleh Farah Suhaidah Othman

ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Laskar Udara 1 Mohd Amin Zulkeflee, 22, maut selepas kereta Proton Saga dipandunya terbabas di Kilometer 319.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, Tapah, hari ini.

Dalam kemalangan 3.40 petang itu, abangnya yang juga anggota TUDM, Laskar Udara 2 Mohd Saifullah Shafaiz, 25, cedera di muka.

Mohd Amin disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan mendapati kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari utara menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan terbabas ke kiri lebuh raya.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang hadapan yang juga abang pemandu cedera di muka.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kereta dinaiki mangsa rosak teruk di bahagian hadapan serta belakang selepas dipercayai berpusing beberapa kali sebelum terbalik.

“Lokasi kejadian adalah jalan lurus dua lorong,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 8:34pm
d