mutakhir

Lelaki maut, melambung selepas berlanggar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENGAWAL keselamatan, Mohd Khairil Zafri Ishak, 27, maut selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan kereta Perodua Myvi di Kilometer 18.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Napoh, Jitra, hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, mangsa yang menetap di Kampung Teluk, Mukim Binjai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa ketika itu datang dari arah Changlun menghala ke Jitra.

Menurutnya, mangsa ketika itu berada di lorong kanan, sementara kereta yang dipandu wanita berusia 35 tahun datang dari Kampung Natoi dan hendak membuat pusingan U untuk menghala ke Changlun.

“Sebaik penunggang motosikal sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba kereta itu melintas untuk membuat pusingan U menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak hingga berlaku perlanggaran pada sisi kanan kereta itu.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal terbabit melambung dan jatuh di atas cermin hadapan kereta itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Ismail berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan brek motosikal itu sejauh kira-kira 10 meter di tempat kejadian.

Katanya, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

“Pemandu kereta Perodua Myvi itu tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu boleh menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk membantu siasatan di talian 04-9172222.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 9:05pm
d