mutakhir

Hilang disedut laut [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KANAK-KANAK perempuan berusia lapan tahun dikhuatiri lemas ketika bermain di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, mangsa, Nurul Ain Sajali, 9, dipercayai bermain dengan dua beradiknya di kawasan batu berhampiran tepi pantai sebelum ditarik arus laut.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.03 petang memaklumkan insiden itu sebelum sepasukan 11 anggota, termasuk pegawai bersama sebuah jentera, Toyota Hilux dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Hasil maklumat awal, kami diberitahu keluarga membabitkan pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka datang ke sini untuk berkelah.

“Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 3 petang, berkemungkinan ahli keluarga panik untuk memaklumkan kepada kami dan memutuskan untuk mencari sendiri dahulu di permukaan laut.

“Sebaik menerima panggilan, bomba terus ke tempat kejadian, namun mengalami kesukaran akibat tersangkut kira-kira 45 minit kerana sesak dengan orang ramai sebelum dibantu polis untuk masuk ke kawasan tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

Menurutnya, laporan awal yang diterima membabitkan tiga mangsa dipercayai hampir lemas ketika mandi, namun dua daripadanya sempat diselamatkan orang awam.

Mohd Fadli berkata, pihaknya akan meneruskan gerakan mencari dan menyelamat.

“Setakat ini kami (bomba) akan tangguh operasi mencari dan menyelamat dan malam ini kita akan menggerakkan anggota untuk mencari di sekitar permukaan pantai,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 9:20pm
d