mutakhir

Dadah punya pasal...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG lelaki Myanmar antara empat individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Motosikal dan Cegah Jenayah sempena Ops Selamat di sekitar ibu negara, hari ini.

Lelaki berkenaan yang berusia 34 tahun ditahan di Jalan Tun Sambathan selepas memiliki satu paket dadah jenis Methampetamine ketika pemeriksaan dilakukan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, tiga lelaki berusia 43 tahun pula ditahan kerana mengguna motosikal curi, dikehendaki atas kesalahan dadah dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Operasi dijalankan di Jalan Imbi, Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Sambathan, Jalan Raja, Jalan Ampang, Jalan Pahang, Jalan Perak dan Jalan Raja Laut.

“Ia bermula pada jam 5 petang dan berakhir jam 7 malam itu memfokuskan motosikal kerana banyak terbabit kemalangan dan kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi itu.

Zulkefly berkata, penunggang motosikal adalah penyumbang tertinggi kemalangan maut, namun statistik pada hari kesembilan Ops Selamat mencatatkan hanya dua kemalangan maut di Kuala Lumpur.

“Polis turut mengeluarkan 9,990 saman dengan 4381 saman membabitkan enam kesalahan utama,” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam 1,299 kemalangan direkodkan dan jumlah itu menurun 242 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, operasi berkala akan terus dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 10:13pm
d