mutakhir

[Update] 'Kaki Ain seperti ditarik'

Oleh Nurul Amanina Suhaini

“DI celah-celah batu, abangnya nampak macam ada orang tarik kaki Ain,” kata Sajali Nin, 48, bapa kepada kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

Sajali berkata, pada mulanya Nurul Ain, 8, hanya bermain pasir bersama abangnya, Fazli, 14 dan sepupu mereka, Puteri Amelia Zulaika Abdullah, 9, sebelum mereka bergerak ke kawasan berbatu untuk mandi.

Katanya, dia pula menjaga anak bongsu, Mohd Khairul, 6, di pondok berhampiran pantai, sementara isterinya, Nur In Sazali, 41, mandi di kawasan berhampiran.

“Tiba-tiba sahaja anak sulung (Fazli) berlari ke arah saya dan mengatakan (kaki) Ain seperti ditarik. Dakwanya di celah-celah batu itu dia nampak macam ada orang menarik Ain,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut itu, dia mencari anaknya di kawasan berkenaan dan seperti hilang arah apabila Nurul Ain tidak kelihatan.

Katanya, Fazli juga hampir lemas bersama Puteri Amelia namun sempat menyelamatkan diri serta dibantu orang awam yang melihat kejadian.

“Kira-kira setengah jam mencari, namun tidak ditemui, saya mendapatkan bantuan orang awam untuk menelefon bomba kerana saya tidak tahu nombor yang perlu dihubungi.

“Begitupun, saya tidak puas hati dan tetap mencari Ain walaupun bomba sudah tiba dan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Dia yang berasal dari Sabah dan bekerja sebagai kontraktor berharap Nurul Ain yang juga satu-satunya anak perempuannya ditemui segera walau dalam keadaan apa sekalipun.

Sajali berkata, Nurul Ain bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai, Pasir Gudang adalah anak kedua daripada tiga beradik, digambarkan sebagai seorang anak yang baik, ceria dan rajin menolong ibunya membuat kerja rumah.

Mereka sekeluarga ke pantai itu untuk beriadah dan keluar dari rumah di Sungai Masai, Pasir Gudang pada 12 tengah hari.

Berita berkaitan

'Hilang disedut laut' [METROTV]

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 10:51pm
d