mutakhir

Patutlah asyik termenung je...

Oleh Nor Amalina Alias

KEGEMBIRAAN 35 ahli keluarga mengadakan Hari Keluarga sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Bachok, semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, mangsa, Muhd Faiz Abdullah, 26, dihanyutkan ombak ketika mandi bersama tujuh ahli keluarganya.

Adik mangsa, Muhammad Faris Abdullah, 24, berkata ketika kejadian, dia bersama adik beradik dan sepupu sedang mandi sebelum terdengar jeritan meminta tolong abang ketiga daripada sembilan beradik itu.

Katanya, Faiz yang bekerja sebagai jurudawai mandi dalam keadaan terbaring sebelum dibawa arus hingga ke tengah laut.

“Saya sempat nampak abang timbul dan tenggelam. Dia cuba berenang, namun tertelan banyak air sehingga kepenatan dan akhirnya hilang daripada pandangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian lemas itu, malam tadi.

Faris berkata, dua daripada ahli keluarga cuba menyelamatkan mangsa dengan menangkap tangan, selain mencari tali serta berkayak, namun tetap gagal kerana arus deras.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd Badrul Munir Abdullah, 43, berkata dia dan ahli keluarga lain datang bercuti di kawasan berkenaan pada 2 petang hari ini.

Katanya, mangsa kelihatan banyak termenung dan tidak menunjukkan minat untuk menyertai sukaneka yang diadakan keluarga berbanding perangai biasanya yang suka bercakap banyak.

“Dia kelihatan teruja nak sertai hari keluarga ini, namun petang tadi nak bermain sukaneka pun kena paksa,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.05 malam.

Katanya, seramai 11 anggota dari BBP Bachok, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu, enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bachok, tiga anggota PBS Kota Bharu, dua anggota PBS Pengkalan Chepa dan lain-lain agensi dengan jumlah keseluruhan 50 anggota bertugas dalam operasi dan menyelamat mencari mangsa.

“Pada malam ini, pihak bomba membuat pemantauan di pesisir pantai sejauh satu kilometer dari kanan dan kiri lokasi mangsa dilaporkan lemas.

“Operasi pencarian di air akan diteruskan pada 8 pagi nanti sekiranya mangsa belum ditemui,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 11:59pm
d