mutakhir

Mungkin tangan kena potong

Oleh Amran Yahya

JELEBU: “Panas disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Bengkak pada bahu kiri saya yang diharap sembuh sepenuhnya selepas menjalani rawatan namun sebaliknya berlaku apabila ia kembali membesar,” kata pesakit kanser tulang, Mohd Shafuan Nor Azhar, 20.

Mohd Shafuan yang menderita penyakit itu sejak tahun lalu berkata, dia menjalani rawatan kemoterapi sehingga bengkak pada bahunya kelihatan mengecil.

“Malangnya, selepas dua bulan menjalani rawatan, ia kembali membesar menyebabkan saya seolah-olah putus harapan untuk meneruskan rawatan,” katanya.

Bercerita mengenai penyakit itu, Mohd Shafuan berkata, dia berasa sakit pada bahu kiri sebelum membengkak dengan saiz luar biasa sehingga tidak boleh tidur dan terpaksa ke Hospital Jelebu, pada Julai tahun lalu.

“Memandangkan keadaan saya semakin kritikal ketika itu, saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan pakar.

“Doktor melakukan imbasan sebelum saya disahkan menghidap kanser tulang dan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali bermula Ogos hingga November tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Rotan, di sini, semalam.

Katanya, sejak menjalani kemoterapi perubahan ketara berlaku ke atas dirinya apabila saiz bengkak itu semakin mengecil dan badan menjadi lebih ringan.

“Ketika itu, keluarga menzahirkan rasa syukur dan mereka mengharapkan saya pulih seperti sedia kala.

“Bagaimanapun, sangkaan kami meleset apabila pada awal Januari lalu, bahu kiri saya kembali membesar. Lebih merumitkan apabila saya terpaksa menggunakan bantal sebagai alas untuk mengurangkan rasa sakit ketika duduk dan berjalan,” katanya.

Katanya, dia pernah patah semangat untuk meneruskan rawatan biarpun pihak hospital menasihatinya terus berbuat demikian.

“Doktor beritahu kemungkinan tangan kiri saya terpaksa dipotong tetapi saya belum membuat keputusan kerana ia berat untuk saya lakukan.

“Keluarga banyak memberi dorongan dan semangat supaya saya kuat. Saya juga mencuba pelbagai rawatan lain termasuk tradisional untuk menyembuhkan penyakit ini,” katanya.

Harian Metro pada 12 Julai tahun lalu melaporkan kisah Mohd Shafuan yang berhasrat membantu keluarganya terpaksa berhenti kerja disebabkan menghidap penyakit misteri.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 8:28am
d