mutakhir

Bertemu selepas 28 tahun

Oleh Adnan Ibrahim

SIMPANG RENGGAM: Selepas 28 tahun berpisah, kira-kira 400 bekas pekerja Ladang Washington bersam a keluarga masing-masing bertemu semula pada Majlis Perjumpaan Bekas Penduduk dan Pekerja Ladang Washinton di ladang itu, baru-baru ini.

Pengerusi majlis perjumpaan itu, Assan Abu Bakar, 63, berkata, ladang itu dibuka pada 1952 dan menjadikan getah sebagai tanaman utama yang diusahakan 200 buruh dan pekerja am.

Bagaimanapun, selepas 38 tahun menjadikan getah sebagai tanaman utama, pengurusan menukar tanaman kepada kelapa sawit menyebabkan hampir semua pekerja meninggalkan ladang itu dan membawa haluan masing-masing di sekitar Johor khususnya Kluang dan Simpang Renggam.

“Uniknya ketika itu, semua pekerja warga tempatan terutama Melayu serta India dan kami menjalani kehidupan penuh harmoni sebagai sebuah keluarga besar serta sering berkongsi kehidupan sama ada susah atau senang.

“Apabila pertemuan keluarga besar ini berlaku, kita dapat melihat keakraban semua bekas pekerja seolah-olah perpisahan selama 28 tahun selama ini hanya berlaku semalam.

“Apa yang menariknya semua ahli keluarga terutama bekas pekerja dan pasangan masing-masing dapat berbual mesra dan seronok mengimbau kenangan silam tanpa mengira kaum dan agama kerana kami sama-sama menempuh susah dan senang bersama ketika tinggal di perumahan ladang itu,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa penganjur terdiri daripada tujuh bekas pekerja ladang berkenaan menghabiskan masa tiga bulan untuk menghimpunkan semua bekas pekerja melalui Facebook dan WhatsApp.

“Kami memohon maaf kepada rakan yang tidak dapat dihubungi, Insya-Allah kami akan mengadakan pertemuan pada masa akan datang.

“Pada masa sama, kami sedih apabila nama Ladang Washington yang menjadi tempat kami membesar kini ditukar kepada nama Ladang Simpang Renggam.

“Lebih mendukacitakan apabila hampir keseluruhan pekerja ladang itu terdiri daripada warga asing dan kehidupan mereka tidak sama seperti kami sebelum ini,”katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 9:41am
d