mutakhir

[UPDATE] 20 minit keluarkan pemandu tersepit

Oleh Ibrahim Isa

PASUKAN Bomba dan Penyelamat terpaksa mengambil masa hampir 20 minit untuk mengeluarkan mayat pemandu tersepit dalam kemalangan yang meragut nyawa empat beranak di Kilometer 55 Jalan Kluang-Kota Tinggi, dekat Kota Tinggi, malam tadi.

Empat sekeluarga yang maut di tempat kejadian, Mohd Firdaus Januri, 34, isterinya Norlia Osman, 33 dan dua anak mereka, Muhammad Adli, 6 dan Nur Dalili, 4.

Pegawai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Abdullah Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.51 malam sebelum satu jentera membabitkan lima anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, apabila tiba pihaknya mendapati dua kereta, Honda Civic dan Proton Saga berada di atas jalan raya dengan keadaan kereta remuk teruk dipercayai akibat dirempuh lori.

Menurutnya, kepala treler terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di kawasan berhampiran.

“Kami dapati dua kanak-kanak, lelaki berusia enam tahun dan perempuan berusia tahun tahun yang juga penumpang Honda Civic sudah dikeluarkan dari kereta oleh orang ramai.

“Mangsa wanita dipercayai ibu dua kanak-kanak itu yang duduk di tempat duduk belakang turut dikeluarkan orang ramai manakala pemandu, dipercayai bapa mereka tersepit.

“Berikutan itu kami menggunakan peralatan khas dan mengambil masa hampir 20 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sekeluarga dan pemandu Proton Saga dari arah Bandar Tenggara menuju ke Kota Tinggi, manakala treler itu dari arah bertentangan.

Katanya, bomba turut membantu pemandu lori naik dari gaung berkenaan dan semua yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan manakala empat beranak yang meninggal dunia diserahkan kepada polis.

Berita berkaitan

Empat beranak ajal bersama

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 10:24am
d