mutakhir

Pemandu bas maut, penumpang parah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMANDU bas ekspres maut, manakala seorang penumpang bas berkenaan parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan itu dengan treler di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di Hulu Selangor, 4.43 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan itu berlaku apabila bas itu yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam melanggar bahagian belakang treler terbabit yang bergerak perlahan di lorong kiri.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas terbabit berusia 43 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler berusia 33 tahun berkenaan tidak cedera.

“Seramai 30 penumpang dalam bas terbabit. Daripada jumlah itu, seorang penumpang parah dan sembilan lagi cedera, manakala selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bak Phai berkata, 10 mangsa yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan itu menyebabkan bas terbabit remuk di bahagian depan, manakala treler berkenaan remuk di bahagian belakang.

“Pemandu treler terbabit ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 10:26am
d