mutakhir

Aksi Fast &Furious tak menjadi

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BAGAIKAN aksi 'Fast and Furious', tiga penjenayah termasuk seorang wanita nekad melarikan diri dengan memandu secara berbahaya termasuk melawan arus di sekitar Johor Bahru, semalam.

Namun, selepas kira-kira 35 kilometer (km), mereka gagal meloloskan diri apabila kereta itu terbabas kira-kira sejam kemudian di Jalan Datin Halimah.

Mereka yang menaiki Honda Civic FC terlebih dahulu melarikan diri selepas diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di Lebuhraya Pasir Gudang pada jam 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, anggota polis Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS membuat rondaan di lokasi.

Pihaknya mengarahkan kereta berwarna putih dinaiki dua lelaki dan seorang wanita berhenti dengan membunyikan siren.

“Pemandu kereta itu kemudian bertindak memecut laju kenderaan. Mereka melarikan diri kira-kira 35 km dari tempat mereka diarahkan berhenti.

“Kita kemudian mendapatkan bantuan anggota MPV IPD Seri Alam untuk mengejar kereta dipandu suspek yang mana kejadian mengejar itu berlanjutan sehingga ke kawasan Seri Alam.

“Kereta suspek turut dipandu dengan melawan arus ketika di kawasan Seri Alam dan melanggar sebuah kereta peronda IPD Seri Alam serta dua kereta orang awam,” katanya.

Beliau berkata, anggota MPV terus mengejar kereta suspek sehingga ke Jalan Datin Halimah, Larkin dan tiba di lokasi itu, kereta suspek terbabas menyebabkan dua suspek lelaki bertindak melarikan diri sejauh 100 meter sebelum berjaya ditahan polis.

“Ketika itu, suspek wanita masih berada di dalam kereta sebelum ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Larkin untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, suspek pertama dan kedua yang juga lelaki berusia 36 tahun bekerja sebagai mekanik dan masing-masing mempunyai dua rekod lampau kes dadah dan lapan rekod curi kenderaan dengan suspek kedua adalah orang dikehendaki dalam kes curi.

Katanya, suspek ketiga yang juga wanita berusia 22 tahun dan tidak bekerja mempunyai dua rekod lampau kes dadah.

Shahurinain berkata, dalam kejadian itu, polis turut merampas Honda Civic FC berwarna putih, sebatang allen key yang diubah suai, sebatang spanar, pengumpil kuku kambing, dompet wanita dan dua alat kawalan jauh.

Katanya, hasil semakan nombor pendaftaran kereta mendapati kenderaan digunakan suspek tiada rekod hilang, namun nombor chasisnya direkodkan bagi sebuah kereta yang hilang bersabit laporan polis di Kota Damansara, Selangor.

"Ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah methamphetamine," katanya.

Shahurinain berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(i) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, manakala IPD Seri alam turut membuka siasatan kerana memandu secara berbahaya.

Sejak malam tadi, gambar dan video berhubung kejadian berkenaan tular di laman sosial.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad berkata tiada sebarang tembakan dilepaskan.

”Kami masih menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak berkongsi maklumat tidak tepat,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 12:26pm
d