mutakhir

Pelinejon bukan sebarangan Orang Asli

Oleh Ramli Ibrahim

BERMULA dengan perniagaan runcit secara kecil-kecilan, seorang Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang membuktikan suku Temiar sepertinya mampu menjadi usahawan berjaya sekiranya dibimbing.

Pelinejon Assut, 34, kini mampu menjana pendapatan hampir RM1,000 sehari hasil daripada perniagaan runcit dan menjadi pembekal buah-buahan tempatan.

Kegigihannya berbaloi apabila dapat mengembangkan perniagaan itu dan menjadi pembekal kepada durian, cempedak, rambutan, dokong, ubi kayu, petai, betik dan banyak lagi di sekitar Gua Musang.

Pelinejon berkata, dia bermula dengan membuka kedai runcit di penempatannya yang jauh di pedalaman pada 2012 dan dibantu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Kini saya sudah menjadi pembekal buah-buahan dan ketika tengah musim paling membawa pendapatan lumayan dan saya mampu meraih hampir RM1,000 sehari.

“Permintaannya sangat menggalakkan dan saya menjual ubi kayu yang diusahakan petani Orang Asli sendiri. Rasanya lebih manis apabila dibakar, tidak sama dengan ubi kayu biasa,” katanya ketika ditemui.

Dia mengakui, sebelum ini perniagaan itu dimonopoli peniaga luar dari bandar dan Orang Asli sukar mencari peluang untuk menjual hasil pertanian sendiri.

Disebabkan itu Pelinejon merebut peluang yang ada dan isteri, Rita Amat, 34, dan empat anak mereka menjadi tulang belakang untuknya terus maju dalam perniagaan.

“Memang jarang kaum saya maju dalam perniagaan dan berharap Orang Asli bijak merebut peluang yang ada dan mampu bersaing dengan masyarakat lain,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 1:21pm
d