mutakhir

[UPDATE] Air mata iringi perjalanan terakhir tunang [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

MEREKA sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 8 Jun ini, namun hajat Wan Mohd Fauzul Azam Wan Mohd Rais, 24, tidak kesampaian selepas tunangnya meninggal dunia dalam kemalangan, semalam.

Fatin Arina Mohd Asri, 24, maut bersama dua adiknya selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Bukit Tuku, Pasir Mas.

Upacara pengebumian tiga beradik itu di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Gading di Tanah Merah, selesai hari ini namun, Wan Mohd Fauzul Azam dilihat sangat terkesan dan sukar menahan sebak.

Dia yang duduk di pondok dekat tepi kubur arwah tunangnya terpaksa ditenangkan ahli keluarga sepanjang proses pengebumian itu.

Ketika ditemui, pemuda yang bekerja dengan syarikat pembinaan di Kuala Lumpur itu berkata, sempat berhubung dengan Fatin Arina kira-kira sejam sebelum nahas itu berlaku.

“Fatin beritahu dia dalam perjalanan menjemput ibu saudaranya untuk ke hospital dan perbualan terakhir itu, dia banyak bergurau dengan saya.

“Ada dia beritahu teringin makan durian Musang King kerana tak pernah merasa. Saya terkilan tidak sempat membelikan untuknya,” katanya.

Menurutnya, mereka bertunang setahun lalu dan persiapan perkahwinan termasuk barang hantaran sudah hampir selesai.

“Sedih sangat kerana hasrat kami tidak tercapai. Namun saya reda. Barang hantaran yang sudah disediakan untuk arwah akan saya serahkan kepada keluarganya juga.

“Mungkin boleh digunakan untuk ahli keluarganya yang memerlukan nanti. Barang hantaran disediakan untuk saya mungkin hanya akan disimpan rapi. Saya tidak sanggup melihatnya dan bimbang hati tidak kuat kerana sering mengingati arwah,” katanya.

Terdahulu, pengebumian tiga beradik itu dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga dan penduduk setempat. Turut serta, Ketua Polis daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad.

Jenazah mereka sebelum itu disembahyangkan di Masjid Mukim Bukit Gading.

Berita berkaitan

'Ajal tiga beradik'

Luluh hati lihat mayat 2 anak

'Gaji pertama dan terakhir untuk ibu'

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 1:57pm
d