mutakhir

Tak mengaku miliki rokok dan arak seludup [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

DUA lelaki warga asing masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini atas tuduhan memiliki rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang diseludup, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh Palanisamy Durai, 49, warganegara India dan Rasel Mozumder, 29, warganegara Bangladesh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Mengikut pertuduhan, Palanisamy yang bekerja sebagai pembuat roti canai didakwa menyimpan dan memiliki barang larangan iaitu 196 tin minuman keras pelbagai jenama dengan berat keseluruhan 74 liter bernilai RM333 dan duti import berjumlah RM370.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Blok B, Jalan 6C/11, Bandar Baru Bangi, pada 10 malam, 26 Januari lalu.

Sementara itu, Rasel yang bekerja sebagai penjaga kedai didakwa atas kesalahan menyimpan dan memiliki 2,380 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM218.20 dan duti import RM476 di sebuah kedai di Taman Teknologi Kajang, Semenyih pada 1.40 petang, 29 Januari lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Muhammad Khairul Farhan Mohd Rakbi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, disebabkan Palanisamy yang tinggal lebih masa juga tidak memperbaharui permitnya yang tamat tempoh pada 14 September 2015.

Manakala Rasel pula tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Bagaimanapun, peguam Darshan Singh Sandhu dan Mohd Fikah Sanusi yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guam mereka diberikan jaminan atas alasan mereka penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 2:20pm
d