mutakhir

Samseng jalanan dah dicekup

Oleh Nur Saliawati Salberi

DUA lelaki dipercayai terbabit dalam insiden menumbuk seorang pengguna jalan raya di jambatan jalan Pantai Klebang, Melaka, Isnin lalu, sudah dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, malam tadi.

Beliau berkata, mereka ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah jam 10.30 malam.

“Suspek yang berusia 32 dan 20 tahun adalah pekerja di sebuah kedai sukan.

“Mereka kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Afzanizar berkata, seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu masih diburu.

“Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang dijalankan selain kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka berusia 46 tahun menjadi mangsa samseng jalanan apabila diserang dan ditumbuk tiga individu pada Isnin.

Rakaman mengenai kejadian itu yang berdurasi seminit 17 saat tular di media sosial memaparkan tiga lelaki menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HRV memotong dan menghalang laluan mangsa sebelum menumbuknya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 3:20pm
d