mutakhir

[UPDATE] Cuai, mengantuk punca kemalangan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KECUAIAN pemandu bas ekspres memandu laju dan dalam keadaan mengantuk dipercayai punca mengakibatkan kenderaan itu berlanggar dengan treler di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, Hulu Selangor, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.43 pagi itu, pemandu bas ekspres terbabit, Muhamad Azhar Abdul Razak, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu, manakala seorang penumpang bas berkenaan parah, selain sembilan lagi penumpang cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan itu berlaku apabila bas terbabit yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam melanggar bahagian belakang treler muatan cecair susu getah berkenaan yang bergerak perlahan di lorong kiri.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas terbabit tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler berusia 33 tahun berkenaan tidak mengalami seberang kecederaan.

“Seramai 30 penumpang dalam bas terbabit ketika kejadian. Daripada jumlah itu, seorang penumpang parah dan sembilan lagi cedera ringan, manakala selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, 10 mangsa yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Slim River, Perak untuk rawatan lanjut.

“Pemandu treler terbabit ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Lelaki terbabit akan diserahkan kepada polis di Pulau Pinang selepas semakan rekod mendapati pemandu treler terbabit adalah individu dikehendaki bersabit kes pecah amanah di negeri berkenaan pada 2014,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Abdullah Hafiz Ibrahim di talian 012-3169004 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 4.49 pagi hari ini.

“Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu serta beberapa anggota daripada Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Shah Alam bersama lima jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan bas ekspres berkenaan dengan treler membawa muatan cecair susu getah.

“Beberapa anggota HAZMAT melakukan operasi pembersihan cecair, manakala anggota lain membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

Pemandu bas maut, penumpang parah

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 3:34pm
d