mutakhir

Tawan tiga menara dalam dua bulan [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PELARI solo wanita negara, Mejar (K) Dr Suwaibah Mohd Nasir bakal menawan tiga menara tertinggi dalam masa dua bulan bermula akhir Februari hingga April depan sebagai sebahagian misinya untuk menawan 30 menara tertinggi di dunia menjelang 2020.

Suwaibah, 46, berkata beliau akan menawan tiga menara iaitu di Filipina, akhir Februari, Marina Bay Sands setinggi 200 meter (m) di Singapura Mac dan menara Ostankino di Moscow dengan ketinggian 540 m, pada April.

Bagi melengkapkan misi itu, beliau yang juga anak jati Kampung Lubuk Rotan Tawar, Tanah Merah akan membuat latihan fizikal dan persiapan mental.

Beliau juga perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama keadaan cuaca yang berlainan berbanding negara ini.

“Selain itu, cabaran lain termasuk visa kerana birokrasi antara negara berlainan. Namun, hasil bantuan dan hubungan diplomatik Wisma Putra dengan negara yang dilawati serta Kementerian Pertahanan Malaysia terutama Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) dan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) misi ini dapat dilaksanakan.

“Saya jangka akan dapat tawan empat menara sebulan yang mengambil masa selama dua tahun bagi melengkapkan misi 30 menara dalam tempoh dua tahun.

“Alhamdulillah, dalam melengkapkan misi ini, ramai memberi sokongan kepada saya termasuk penajaan daripada beberapa pihak.

“Saya akan melengkapkan misi menawan 30 menara dengan membawa misi keamanan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis memperkenalkan Pelari Solo Negara dan majlis tayangan perdana Telemovie “Meigho” di Hotel Perdana, di Kota Bharu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Telemovie “Meigho”, Zack Zaideen.

Suwaibah berkata, bagi menawan 30 menara itu beliau memerlukan kos sebanyak RM4 juta.

Katanya, setakat ini mendapat penajaan daripada daripada GISB Holding Sdn Bhd bagi tiket kapal terbang dan penginapan.

Sebelum ini, beliau menawan tiga menara iaitu Menara Avala (250 meter) di Belgrade, Serbia pada 31 Ogos 2016; Baiyoke Sky Tower (309 meter) di Bangkok, Thailand, dan Gama Tower, Jakarta, Indonesia tahun lalu.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 4:55pm
d