mutakhir

[Update] Hidangan terakhir masakan ibu

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

ANGGOTA Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang maut selepas terkena bom ikan ketika memukat di Sungai Pengkalan Merbau, Sungai Tong, Permaisuri semalam dikatakan sempat menjamah asam pedas dimasak ibunya sebelum tragedi itu.

Abang sulungnya yang mahu dikenali Zulhilmi berkata, adiknya Allahyarham Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz, 32, ada meminta ibu mereka memasakkan asam pedas kegemarannya sebelum mereka keluar memukat.

Katanya, arwah juga dilihat sangat berselera ketika menikmati hidangan itu, namun mereka tidak melihat sesuatu yang pelik padanya.

“Tak ada pula dia berperangai pelik, cuma sebelum kejadian dia minta ibu masakkan asam pedas.

“Tengah hari itu dia berselera makannya dan selesai, terus sembahyang dan mengajak ahli keluarga memukat ikan di sungai.

“Tak sangka pula kejadian malang itu berlaku. Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulhilmi yang masih bersedih dengan kejadian itu memberitahu jenazah Nur Kamarul Adnan yang selesai dibedah siasat di Hospital Setiu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chalok Kedai, Permaisuri selepas solat Asar.

Allahyarham Nur Kamarul Adnan yang bertugas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, meninggalkan seorang balu dan tiga anak (dua lelaki seorang perempuan).

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Tong, Setiu, selepas mengalami kecederaan di bahagian perut, muka serta kedua-dua belah tangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat terkena bahan letupan. Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 itu.

Berita berkaitan

Anggota PASKAL maut terkena bom ikan

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 5:01pm
d