mutakhir

Pendaki ditemui tidak bermaya

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG pendaki ditemui dalam keadaan tidak bermaya di tepi anak sungai hutan Legong, Baling, Kedah hari ini selepas dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Air Ibu, Pengkalan Hulu sejak semalam.

Muhammad Khusairi Abdullah, 29, ditemui oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, Pengkalan Hulu, D Selvamany berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa jam 8 malam tadi daripada rakan mangsa yang berjaya turun terlebih dahulu dari gunung berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh mangsa bersama tujuh lagi lelaki lain melakukan aktiviti pendakian gunung berkenaan semalam yang mana empat daripada mereka selamat turun semalam.

“Sementara empat lagi dipercayai tersesat ketika dalam perjalanan turun dengan seorang dilaporkan mengalami keletihan dan tidak berdaya untuk meneruskan perjalanan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak berdaya itu kemudian ditinggalkan bersendirian di satu kawasan sementara tiga pendaki lain meneruskan perjalanan untuk meminta bantuan.

“Selepas berjaya menemui orang kampung, tiga pendaki berkenaan kembali ke tempat mangsa ditinggalkan namun mangsa sudah tiada di lokasi terbabit.

“Pada jam 8 pagi ini, pasukan bomba terdiri daripada lapan anggota bersama lima anggota polis dan 10 anggota APM serta 32 penduduk kampung melancarkan SAR,” katanya.

Selvamany berkata, pada jam 2.30 petang pihaknya dimaklumkan mangsa ditemui selamat di kawasan Legong, Baling oleh orang kampung iaitu kira-kira sejam perjalanan dari kawasan terakhir mangsa ditinggalkan.

“Ahli keluarga mangsa kini dalam perjalanan ke Baling untuk mengambil mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 5:37pm
d