mutakhir

Pencuri 'paling alim'

Oleh Hasbi Sidek

SANGGUP bangun awal dan ke masjid sebelum berpura-pura untuk menunaikan solat Subuh. Perkara itu dilakukan seorang lelaki semata-mata untuk melakukan samun di sebuah masjid di Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, lelaki berkenaan menunggu sehingga jemaah sujud sebelum masuk ke dewan solat dan melarikan satu beg milik seorang jemaah wanita.

Mohd Faiz Hashim, 38, menantu kepada Aziah Wan Abdullah, 66, yang menjadi mangsa dalam kejadian itu berkata, kerugian yang dialami ibu mentua dianggarkan berjumlah RM2,000.

“Kejadian berlaku ketika ibu sedang menunaikan solat subuh berjemaah di masjid berkenaan. Sebaik bangun dari sujud, seorang jemaah wanita yang duduk di sebelah ibu menjerit memaklumkan seorang lelaki mengambil beg solat ibu.

“Ibu bersama jemaah wanita berkenaan cuba mengejar lelaki itu, namun tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beberapa video dan gambar mengenai kejadian berkenaan tular, sejak semalam, yang mana memaparkan tindakan seorang lelaki masuk ke dewan solat dekat sebuah masjid sebelum mengambil beg milik seorang wanita.

Dalam salah satu video menunjukkan lelaki itu mundar-mandir di kawasan masjid sebelum masuk ke dalam dalam dewan solat, malah wajahnya juga boleh dilihat dengan jelas dalam rakaman berkenaan.

Mohd Faiz berkata, sebelum kejadian, beberapa jemaah ternampak lelaki itu mengambil wuduk dan berpura-pura untuk solat berjemaah.

“Beg ibu mengandungi satu telefon bimbit, buku nota, buku doa, cermin mata dan wang tunai RM20. Ibu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan berharap tindakan undang-undang dapat diambil terhadap penjenayah berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhamad Najib Hamzah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu suspek selain siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhammad Hafiz di talian 016-8741898 atau Asisten Superintendan M Hussin di talian 017-2446363/03-92899222,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 5:54pm
d