mutakhir

Lain dicari, lain pula yang jumpa

Oleh Nurul Amanina Suhaini

ORANG ramai yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan yang hilang di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi sejak semalam, terkejut apabila menemui mayat lelaki berpakaian lengkap.

Mayat mangsa yang tidak diketahui identiti itu ditemui terapung di kawasan berbatu dekat pesisir pantai berkenaan, 4.50 petang semalam.

Malah, bedah siasat ke atas mayat mendapati punca kematian akibat jerutan di leher.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah mengesahkan penemuan itu dan memberitahu tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Kita menerima panggilan telefon daripada orang awam pada 5.15 petang (semalam) memaklumkan penemuan itu sebelum sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dibantu anggota Balai Polis Bandar Penawar ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai warga asing berpakaian kemas iaitu berkemeja lengan panjang berwarna biru, berseluar ‘slack’ warna gelap, berstokin dan memakai tali pinggang.

“Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuhnya dan kita juga menyemak senarai penyewa Chalet Bayu Balau, namun tiada penyewa lelaki warga asing di situ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan jerutan di leher, selain pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengenali individu berkenaan supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Fauzi Kamarudin di talian 07-883 1222 atau 019- 652 9472 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 6:30pm
d