mutakhir

Dari Argentina ke Pulau Pinang [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

BAWA masuk sisa kacang soya dengan alasan untuk dilupuskan, namun ia sebenarnya dikesan untuk dijadikan sebagai makanan kepada haiwan peliharaan.

Itu alasan digunakan ejen membawa masuk 155 tan sisa kacang soya diimport dari Argentina dengan mendakwa untuk dilupuskan.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu (W1), Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas sisa kacang soya terbabit pada 5.30 petang semalam.

Beliau berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, seramai empat anggota yang menaiki bot ronda melakukan pemeriksaan terhadap tongkang diikat di Jeti Sungai Perai, Butterworth.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ejen gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit import daripada pihak pertanian.

“Lesen tongkang terbabit didapati sudah tamat tempoh dan nilai keseluruhan barang dirampas termasuk tongkang berjumlah RM250,000,” katanya pada sidang media di Sungai Perai, Butterworth, hari ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan terbabit ia disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan Seksyen 472(2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Menurutnya, semua barang kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, PPMW1 akan terus menjalankan operasi dan membuat pemeriksaan terhadap semua bot, feri dan kapal kargo bagi memastikan tiada sebarang aktiviti penyeludupan dan kemasukan warga asing,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 7:31pm
d